20-10-2021

Harian Metro : Industri jejak graduan

Kuala Lumpur: Kajian Pengesanan Graduan 2020 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merekodkan kadar kebolehpasaran graduan menurun sebanyak 1.8 peratus iaitu 84.4 peratus pada tahun lalu berbanding 86.2 peratus pada 2019.

Dapatan itu berdasarkan kepada kadar respons ke atas kajian, iaitu sebanyak 85.4 peratus atau 260,701 daripada keseluruhan 305,301 graduan warganegara pada tahun kajian.

Dengan merujuk kepada jumlah responden yang sama, didapati 15.6 peratus atau 40,550 daripada keseluruhan responden graduan warganegara adalah graduan yang belum bekerja dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Justeru, dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil inisiatif membangunkan portal sehenti iaitu Graduates Reference Hub for Employment and Training atau GREaT yang dilancarkan pada 28 September 2020.

Selain dilihat berjaya mengurangkan masa carian, portal ini juga memudahkan graduan dan bakal graduan mengetahui senarai perkhidmatan berkaitan dengan kebolehpasaran graduan dari pelbagai penyedia perkhidmatan.

Ini termasuk maklumat berkenaan tawaran pekerjaan, peluang menyambung pengajian, permohonan kemudahan penajaan pengajian, program keusahawanan yang dilaksanakan serta latihan peningkatan kemahiran yang dianjurkan.

Menyedari hakikat cabaran yang didepani dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan adalah peluang kepada penambahbaikan yang berterusan, KPT mengambil langkah meluaskan fungsi Portal GREaT supaya berupaya menemupadankan graduan dengan pihak syarikat dan industri khususnya dalam penawaran latihan industri serta pekerjaan.

Justeru, KPT dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), membangunkan Modul Pemadanan Pekerjaan (JobMatching@GREaT) di Portal GREaT.

Kerjasama ini bertujuan membantu graduan yang masih belum bekerja mendapatkan pekerjaan mengikut kelayakan dan kompetensi mereka, seterusnya meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan dalam negara.

Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar KPT Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pembangunan modul JobMatching@GREaT itu adalah selaras dengan insiatif kedua di bawah Strategi ke-2 Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021 – 2025, iaitu melaksanakan padanan permintaan dan penawaran pekerjaan.

Menurutnya, JobMatching@GREaT memanfaatkan data graduan yang masih belum mendapat pekerjaan dalam pangkalan data Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) untuk dipadankan dengan kekosongan jawatan yang terdapat di industri atau syarikat yang berdaftar dalam modul JobMatching@GREaT.

"Dalam erti kata lain, graduan berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan tanpa perlu memohon pekerjaan dengan industri.

"Pada masa sama, usaha meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan akan dapat diperkukuh," katanya.

JobMatching@GREaT adalah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi bagi melaksanakan padanan permintaan dan penawaran pekerjaan menggunakan teknologi terkini.

Platform ini diperkenalkan untuk memudahkan pihak industri menjejak graduan bagi menawarkan peluang pekerjaan yang bersesuaian bagi tujuan meningkatkan kebolehpasaran dan memperkukuhkan ekonomi negara.

Ia melaksanakan pemadanan kekosongan jawatan di industri dengan data graduan di dalam Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) secara automatik mengikut kriteria yang ditetapkan.

Modul JobMatching@GREaT diwujudkan bukan untuk bersaing dengan portal mencari pekerjaan di luar sana, tetapi bertindak sebagai pelengkap kepada portal berkenaan.

Shaharuddin berkata melalui modul ini, graduan tidak perlu memohon pekerjaan seperti yang lazim dilalui di mana-mana portal pencarian pekerjaan biasa.

"Ciri modul yang unik ini amat membantu terutamanya bagi graduan yang tidak sempat untuk mencari pekerjaan disebabkan oleh kekangan masa," katanya.

Menjadikan Industri Jejak Graduan sebagai slogan, pendekatan pengoperasian modul ini menyaksikan industri menjejaki graduan berdasarkan kriteria yang diperlukan dan tidak memerlukan graduan untuk memohon pekerjaan dengan industri.

Data graduan tidak bekerja yang terdapat dalam SKPG dipadankan secara automatik menggunakan kaedah tapisan multikriteria dan pemeringkatan (ranking).

Industri boleh memilih graduan mengikut kriteria yang mereka perlukan seperti program dan peringkat pengajian, nama atau jenis IPT, purata nilai gred kumulatif (PNGK), negeri bermastautin, band MUET, kemahiran bahasa ketiga, kemahiran ICT dan kriteria-kriteria lain.

Untuk terus melangkah ke hadapan, Shaharuddin berkata modul JobMatching@GREaT akan diperluaskan fungsinya supaya pemadanan yang dilakukan bukan sahaja untuk graduan tidak bekerja, tetapi juga graduan underemployed dalam SKPG.

Di samping itu, fungsi modul ini juga akan dikembangkan untuk pemadanan data pelajar tahun akhir dari sistem MyMoheS dengan latihan industri dan program perantisan (apprenticeship).

"Sesungguhnya KPT amat prihatin dan komited dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan IPT negara.

"Justeru, perluasan fungsi Portal GREaT akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan menambah modul yang bersesuaian.

"Keberhasilan penyediaan portal ini diharapkan dapat melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan, seterusnya menyumbang secara tidak langsung kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.

Suliati Asri - [email protected]

Disiarkan pada: Oktober 20, 2021 @ 7:01am