02/08/2021

Pelan strategik bakal dilancar tingkat kebolehpasaran graduan

KUALA LUMPUR: Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2021-2025 akan dilancarkan dalam masa terdekat dengan matlamat untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan terutama dalam mendepani situasi mencabar disebabkan COVID-19 ketika ini.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, berkata menerusi pelan ini, ia memberi panduan kepada IPT menjalankan program dengan graduan, yang membabitkan penyertaan sepenuhnya industri.

Katanya, penyertaan itu bermula daripada pembangunan kurikulum serta pembabitan dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran dengan matlamat akhir menghasilkan graduan berkualiti memenuhi permintaan industri abad ke-21.

"Kurikulum pengajiannya selari dengan keperluan industri. Oleh itu, hubungan yang baik antara kementerian, industri dan ahli akademik dan pelajar dalam menangani isu kebolehpasaran graduan.

"Ia akan menjamin peluang pekerjaan graduan di sampimg memastikan tangga gaji setaraf dengan kelayakan mereka.

"Apabila pengajian di IPT sudah diterapkan dengan kurikulum tersedia masa hadapan, kita yakin dapat melahirkan graduan lebih bersedia memasuki alam pekerjaan pada masa hadapan," katanya ketika ditemubual dalam program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV, hari ini.

Shaharuddin berkata, pandemik COVID-19 yang sudah melanda negara sejak tahun lalu diakui menjejaskan peluang graduan untuk memasuki alam pekerjaan.

"Hasil Kajian Pengesanan Graduan bagi tahun 2020 yang dilaksanakan KPT merekodkan kadar kebolehpasaran graduan pada tahun lalu adalah 84.4 peratus, menurun sebanyak 1.8 peratus berbanding 86.2 peratus pada tahun 2019," katanya.

Justeru kata beliau, peranan industri amat penting dan KPT sentiasa merancang serta menyusun program yang membuka laluan kerjaya kepada graduan.

"Antara program yang menampakkan kejayaan adalah program kita bersama Shopee yang terbuka kepada 5,000 graduan untuk membuka kedai maya dalam platform itu, dengan bimbingan pakar secara percuma.

"Selain itu kita juga bekerjasama dengan syarikat PERODUA yang turut menyumbang peningkatan kemahiran. Sekarang kita sudah ada 164 graduan dan penempatan pekerjaan adalah dijamin selepas tamat latihan. Program ini kita sasarkan 500 graduan," katanya.

Program keusahawan turut dilaksanakan bersama Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Tekun Nasional, yang mensasarkan penyertaan seramai 1,000 graduan.