14-11-2020

30 peserta PENJANA KPT-CAP berjaya dapat pekerjaan

Kursus Sijil Kecekapan Fiber Optik, inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (Penjana KPT-CAP) mencapai matlamat apabila kesemua 30 graduan yang menyertainya di Kolej Komuniti Arau berjaya mendapat kerja selepas tamat kursus tersebut.

Program yang dikendalikan oleh NurKamal Network Sdn. Bhd itu telah disertai oleh graduan dari Kolej Komuniti Arau, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Kolej Komuniti Jempol, Kolej Komuniti Padang Terap, Kolej Komuniti Bandar Darulaman, dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas).

Untuk makluman, PENJANA KPT-CAP yang telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato Haji Muhyiddin Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia ini merupakan insiatif yang diambil oleh KPT dalam meningkatkan kemahiran para graduan Institusi Pendidikan Tinggi negara dalam mendepani alam pekerjaan yang bakal mereka tempohi kelak.

Penyertaan program bagi graduan yang berminat adalah melalui Portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT). Portal ini boleh dilayari melalui pautan http://great.mohe.gov.my.