06-12-2020

Graduan UiTM terima skrol diploma, ijazah norma baharu

DUNGUN – Seramai 289 graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari Terengganu berpeluang merasai pengalaman ‘konvokesyen’ secara norma baharu di UiTM Terengganu di sini.

Majlis penganugerahan Diploma dan Ijazah selama tiga hari bermula semalam tetap meriah meskipun tanpa majlis penyampaian sijil dan sambutan perarakan masuk graduan seperti kelaziman sebelum ini.

Rata-rata graduan tetap bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan UiTM yang mengambil inisiatif tersebut yang sangat bermakna kepada mereka sebagai tanda berakhirnya pengajian.

Penerima Anugerah Naib Canselor, Ahmad Ikhwan Fitri Arefin, 25, berkata, meskipun sedikit terkilan berikutan tiada pengumuman pemasyhuran namanya sebagai penerima anugerah tersebut namun tetap bersyukur berpeluang merakam gambar kenangan.

“Apa yang lebih menyedihkan, saya terpaksa hadir ke majlis penganugerahan ini seorang diri kerana adik beradik lain tinggal di Kelantan dan Kuala Lumpur yang ketika ini sedang dalam tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

“Agak sedih dan sebak bila tengok kawan-kawan yang lain dapat merakam gambar bersama keluarga tetapi saya hanya bersendirian,” katanya yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni Kulinari.

Ahmad Ikhwan Fitri yang kehilangan ibu dan bapanya beberapa tahun lalu berkata, meskipun meraikan hari penganugerahan itu seorang diri, beliau bangga dapat memenuhi wasiat bapanya Arefin Omar dan Hamidah Hussin yang mahu beliau cemerlang dalam pelajaran.

Beliau memberitahu kini sedang berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Terengganu.