24/11/2020

Penjana KPT-CAP jamin peluang kerja untuk graduan

KETIKA ini, semua tahu dunia sedang berhadapan pandemik COVID-19. Kita juga menyedari penularan ini menimbulkan pelbagai implikasi negatif terhadap sosioekonomi negara.

Andaikan situasi ini berlanjutan sehingga pertengahan tahun hadapan. Kita boleh agak kesannya akan berlaku penguncupan ekonomi dan kadar pengangguran yang mencanak naik.

Pengumuman beberapa syarikat konglomerat yang menutup operasi sejak kebelakangan ini sudah menjadi trend dan menyumbang kepada kadar pengangguran yang tinggi. Untuk stabilkan semula ekonomi pasti memakan masa yang panjang.

Cuba kita kecilkan skop pandangan dan lihat pula pada peringkat universiti. Apakah akan jadi pada graduan kita untuk tempoh setahun atau dua tahun akan datang?

Perkara ini pasti menimbulkan kegusaran dalam kalangan mahasiswa, termasuk ibu bapa mereka. Apa yang terlintas di kepala, peluang anak muda ini hendak 'cari makan' tampak semakin sukar.

Dalam kelembapan ekonomi ini, kita sedar betapa pentingnya negara menjamin pekerjaan dan mengurangkan masalah pengangguran, terutama dalam kalangan graduan yang berasa terpinggir daripada arus perdana kegiatan sosioekonomi negara.

Bagi mengurangkan tekanan krisis yang bakal dihadapi, Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan program Penjana KPT-CAP Career Advancement Programme atau Program Peningkatan Kerjaya dengan memberi fokus dalam menangani isu graduan menganggur.

Dana sebanyak RM100 juta diperuntukkan sebagai usaha untuk menangani kegusaran berhubung keadaan ekonomi Malaysia, khususnya berkaitan peluang pekerjaan dalam kalangan belia negara.

Melalui inisiatif Penjana KPT-CAP ini, program reskilling dan upskilling akan dilaksanakan sebagai usaha membantu meningkatkan kemahiran dan kebolehan bagi melahirkan graduan berketrampilan untuk memenuhi pasaran kerja bersesuaian.

Antara tiga teras utama yang akan ditekankan dalam pelaksanaan program ini ialah melalui Place and Train atau latihan dan penempatan, selain tumpuan kepada sektor Gig (Gerak Insan Gemilang) ekonomi serta keusahawanan.

Place and Train ialah program latihan kompetensi bersasar kepada peserta sebelum memulakan pekerjaan yang ditawarkan oleh industri.

 

Program latihan keusahawanan pula menyasarkan penubuhan syarikat pemula dalam kalangan peserta, iaitu graduan dan berupaya mendapatkan bantuan pembiayaan kewangan daripada institusi perbankan serta agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan sebagainya.

Ekonomi Gig pula adalah program latihan berkompetensi yang mampu membantu peserta untuk menjana pendapatan melalui ekonomi Gig atau aktiviti berbentuk freelancing.

Program empat hingga enam minggu itu terdiri daripada tiga modul. Modul pertama mengenai kemahiran insaniah yang merangkumi topik seperti kepemimpinan dan kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan membuat keputusan, kemahiran menulis dan pembentangan, kemahiran komunikasi, pemasaran media sosial dan lain-lain.

Modul kedua, berkaitan pentauliahan kompetensi, manakala modul ketiga akan merangkumi bimbingan dan persiapan untuk pasaran kerja.

KPT turut menjalinkan kerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan pihak industri dalam menangani masalah pengangguran, selain memastikan kebolehpasaran graduan dapat ditingkatkan.

Peserta yang layak untuk mengikuti program ini adalah graduan tidak berjaya mendapat pekerjaan pada 2019 dan juga mereka sudah lulus pada 2020.

Graduan yang menamatkan pengajian pada Oktober lalu perlu memastikan ijazah mereka diluluskan oleh senat terlebih dahulu.

Setiap peserta akan dibiayai sepenuhnya untuk menjalani satu daripada tiga sub program yang bernilai sehingga RM5,000 untuk setiap peserta.

Setiap permohonan akan ditapis melalui sistem single window, single offer. Ini bermakna, bidang latihan ditawarkan adalah bergantung kepada jurusan diambil di universiti.

Setiap permohonan juga akan memperoleh keputusan serta merta sama ada layak atau tidak untuk mengikuti skim latihan ditawarkan. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://great.mohe.gov.my/

Bagi menjamin kualiti latihan ditawarkan, kursus di bawah program Penjana KPT-CAP direka bentuk mengikut kehendak dan keperluan ditetapkan syarikat yang bakal mengambil graduan berkenaan sebagai pekerja mereka. Ia bagi memastikan graduan memperoleh pekerjaan selepas tamat kursus.

KPT juga menetapkan, syarikat yang menawarkan kursus perlu mengeluarkan Letter of Commitment (LOC) sebagai jaminan pekerjaan kepada peserta.

Ini bermakna, graduan yang terpilih untuk mengikuti kursus Penjana KPT-CAP ini akan terus ditawarkan pekerjaan sebaik sahaja tamat program masing-masing dengan anggaran gaji ditetapkan sekitar RM2,000 hingga RM2,500.

Dengan kata lain, graduan yang mengikuti kursus ini akan mendapatkan pekerjaan terjamin, sekurang-kurangnya untuk tempoh masa antara enam bulan hingga 12 bulan akan datang.

Melalui program ini, KPT menyasarkan sekurang-kurangnya 18,000 graduan akan mendapat manfaat dan memperoleh pekerjaan yang ditawarkan. Setakat ini, penyertaan masih lagi terbuka dan akan ditutup apabila kuota penuh.

Bagi graduan yang masih belum lagi mendapat peluang pekerjaan, ini adalah peluang terbaik yang perlu diambil bagi mendapatkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran.

Seperti yang kita boleh jangka, masalah ekonomi akan terus berpanjangan. Namun, inisiatif Penjana KPT-CAP yang diperkenalkan oleh kerajaan ini sekurang-kurangnya dapat membantu graduan untuk memperoleh pekerjaan.

Segalanya sudah terhidang, hanya tunggu graduan sahaja untuk mengemukakan permohonan.

Diharapkan, siswazah yang mengambil bahagian dalam program ini akan menerima manfaat dan memenuhi pasaran kerja pada suku pertama 2021.

 

Semoga apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan teliti oleh semua pihak yang bertanggungjawab supaya sasaran ditentukan tercapai sepenuhnya.