17-09-2020

Pembangunan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021-2025

Datuk Seri Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini telah merasmikan sesi townhall Pembangunan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021-2025 anjuran Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar (BPPD), KPT di Putrajaya.

Sesi townhall ini merupakan lanjutan dari sesi yang telah diadakan sebelum ini di Kuala Lumpur yang melibatkan para pelajar dari IPT di seluruh negara, alumni yang kini telah bergelar usahawan serta agensi penjanaan dana seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Kali ini ianya melibatkan naib-naib canselor, rektor universiti-universiti awam dan pengarah-pengarah politeknik dan kolej komuniti  bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas untuk memastikan kelangsungan agenda keusahawanan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di samping mewujudkan ekosistem keusahawanan yang lebih kondusif dan lestari bagi melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan pelajar IPT.

Turut serta Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT,  Prof. Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Ts. Dr. Mohammad Naim Yaakub, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, dan Dato' Shaharuddin Abu Sohot, Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar.