05-09-2020

Program PENJANA KPT fokus kebolehpasaran siswazah, tangani isu pengangguran

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menerima peruntukan RM100 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekokomi Negara (PENJANA) akan memberi fokus dalam menangani isu graduan mengganggur.

 

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata antara fokus utama dalam pelaksanaan program di bawah PENJANA adalah melalui 'Place and Train' selain tumpuan kepada sektor ekonomi gig dan keusahawanan.

 

 

Beliau berkata, KPT juga menjalinkan kerjasama dengan kementerian lain dan pihak industri dalam menangani masalah pengangguran selain memastikan kebolehpasaran graduan.

 

"Apa yang penting melalui PENJANA ini, kami di KPT berkolobrasi bersama pihak industri yang memberikan komitmen untuk mengambil graduan untuk bekerja.

 

"Antara pendekatan dan penambahbaikan yang dilaksanakan ialah pihak industri perlu menanda tangani 'letter of commitment' terhadap program PENJANA yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 28 September depan.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian UMS-Medical Specialist Community Outreach Team (UMS-MedSCOT) anjuran Fakulti Perubatan dan Sain Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Naib Canselor UMS, Professor Datuk Dr ChM Taufik Yap Yun Hin, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Rosli Yaakub, Dekan FPSK, Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree dan Pengerusi MPKK Kampung Tanjung Batu, Abd Fatah Mohidin.

 

Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif dan penganjuran program UMS-MedSCOT yang menyediakan perkhidmatan kesihatan pakar perubatan kepada komuniti yang menjangkau kawasan luar bandar.

 

Katanya, menerusi perkhidmatan MedSCOT ini, rakyat di komuniti luar bandar akan dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

 

"Ini sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat luar bandar untuk menikmati tahap kesihatan yang sama baik dengan mereka yang menetap di bandar-bandar utama," katanya.