06/11/2020

Kerajaan peruntuk RM1 bilion untuk program reskilling and upskilling

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk 200 ribu pelatih merangkumi program peningkatan kemahiran dan latihan semula atau 'reskilling and upskilling' yang akan dilaksanakan dengan tumpuan kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi program Kementerian Pengajian Tinggi persijilan profesional (KPT-PACE) di mana graduan baharu ditawarkan baucar bernilai RM3,000 seorang untuk mengambil kursus sijil profesional di universiti awam dan swasta.

Beliau berkata, dijangka seramai 50,000 graduan akan memperoleh manfaat daripada program tersebut.

Menurutnya, sebanyak RM100 juta pula akan diberikan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad atau HRDF bagi melaksanakan program latihan dan kerja secara usahasama dengan majikan sektor swasta, manakala RM100 juta lagi turut diberikan kepada MDEC untuk memudahkan peralihan bakat tenaga kerja sedia ada bagi mengisi keperluan dalam industri ICT yang kian mengembang.

"RM100 juta lagi akan diperuntukkan kepada pihak berkuasa pembangunan wilayah terutamanya IRDA dan SEDIA untuk melengkapkan kemahiran baharu kepada tenaga kerja yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan bagi pelancong asing agar memudahkan mereka mendapat peluang kerja atau sumber pendapatan baharu.

"Selain itu, bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran serta menceburi bidang baharu, skop pelepasan cukai yuran pengajian akan diperluas meliputi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran oleh badan-badan bertauliah, terhad kepada RM1,000 ringgit bagi setiap tahun taksiran," katanya pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Majlis Pekerjaan Negara akan dibentuk bagi membantu rakyat Malaysia mendapat peluang pekerjaan.

Tengku Zafrul berkata, majlis berkenaan akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Majlis ini akan menyelaras pelbagai inisiatif merentas Kementerian dan agensi untuk mencipta peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja.

“Agensi Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) akan bertanggungjawab untuk memantau keberkesanan inisiatif bagi memastikan rakyat Malaysia terus mendapat peluang pekerjaan,” katanya pada sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.