21/10/2020

Latih 100 Graduan Jadi Dreba Trak

Seramai 100 graduan terpilih dari 20 universiti awam di seluruh Malaysia akan menyertai Program ‘Young Professional Trucker UUM 2020’ bagi melahirkan pemandu trak profesional.

Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Dr. Nor Hasni Osman berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk merancakkan sektor ekonomi pasca Covid-19.

Menurutnya, program menerusi kerjasama strategik dengan PKT Logistics Sdn Bhd itu menggunakan dana dari program Penjana KPT- ‘Career Advancement Program’ (KPT-CAP) yang telah dilancarkan Perdana Menteri di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 28 September lalu.

“Program latihan selama 30 hari ini diadakan di kampus induk UUM yang akan diterajui oleh Ketua Jabatan Logistik Dr. Kamal Imran bersama pasukannya,” katanya.

Sementara itu, Dr. Kamal berkata, menerusi program tersebut, PKT sebagai penyedia latihan akan melatih 100 graduan di seluruh Malaysia yang berminat untuk menjadi pemandu trak profesional.

Menurutnya, graduan akan mengikuti 12 modul latihan yang disediakan serta menduduki ujian lesen pemanduan trak.

Katanya, setelah lulus ujian lesen, ‘graduan truckers’ akan mula berkhidmat di syarikat logistik dan pengangkutan yang telah dikenalpasti dan terlibat dengan projek itu.

“Selain daripada dana penjana KPT, UUM melalui STML telah berjaya memperolehi satu lagi dana untuk projek yang sama iaitu dana Graduate Employability (GE) yang dikhususkan kepada graduan UUM sahaja.

“Secara keseluruhannya, UUM melalui STML dengan kerjasama PKT Logistics sebagai penyedia latihan akan melatih seramai 117 orang graduan yang terpilih ke projek ini,” katanya.

Kedua-dua permohonan dana mendapat panduan dan sokongan daripada Pengarah Unit Kerjaya UUM, Dr. Herman Shah Anuar.

Selain PKT Logistics, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekolah memandu dan Unit Kenderaan, Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP) UUM turut terlibat dalam merancakkan program latihan ini.