28/09/2020

Graduan perlu daftar segera PENJANA KPT-CAP - Muhyiddin

BANGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru graduan masih menganggur supaya merebut peluang mendaftar Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP).

Perdana Menteri berkata, graduan boleh memohon program berkenaan melalui portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT) yang disediakan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Progran PENJANA KPT-CAP yang julung kali diperkenalkan ini unik kerana graduan dipastikan akan memperoleh pekerjaan selepas menamatkan kursus ditetapkan.

"Kursus ini direka mengikut kehendak dan keperluan ditetapkan syarikat yang bakal mengambil graduan terbabit sebagai pekerja mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran PENJANA KPT-CAP) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd (MPB), Datuk Syed Hussian Syed Junid yang juga Pengerusi Kumpulan Western Digital.

Muhyiddin berkata, program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran bukan saja untuk menangani graduan menganggur, malah memastikan golongan yang hilang pekerjaan dalam tempoh pandemik COVID-19 mengekalkan atau meningkatkan kemahiran mereka supaya memanfaatkan peluang ketika ekonomi beransur pulih.

"Contohnya kursus Smart Trucker. Kandungan pengajaran dalam kursus ini direka berdasarkan kemahiran diperlukan syarikat logistik yang mengeluarkan 'Letter of Commitment' (LOC) kepada KPT.

"Justeru, habis saja tempoh kursus, graduan tadi akan ditawarkan bekerja dengan syarikat logistik berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, KPT kini giat membangunkan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 bagi memastikan kesinambungan pemerkasaan agenda keusahawanan di institusi pengajian tinggi.

"Keusahawanan perlu dilihat sebagai satu cabang kerjaya berpotensi besar yang boleh diteroka pelajar dan graduan.

"Bidang keusahawanan bukan saja menawarkan penjanaan pendapatan kepada pengusaha tetapi sebagai 'job creator' iaitu berupaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain melalui perniagaan yang dijalankan," katanya.